Wednesday, September 30, 2009

Selamat Hari Raya


Hari raya tahun 2009

Tuesday, September 29, 2009

DAGING KORBAN DAN AQIQAH

Soalan; ustaz, soalan saya berkenaan Daging Aqiqah dan Daging Korban:-
1)Manakah lebih baik dan lebih afdhal samaada kita sedekahkan daging tersebut secara mentah-mentah atau kita masak terlebih dahulu dan beri makan kepada mereka yang berhak (buat kenduri)
2) Adakah boleh orang bukan islam makan Daging Aqiqah / Daging Korban ( mereka hadir dalam majlis kenduri dan makan makanan tersebut )
Terima Kasih Ustaz

Jawapan;

1. Bagi daging korban, sunat diagihkan dalam keadaan mentah. Jika hendak disedekahkan (atau dihadiahkan) setelah dimasak adalah harus. Cuma bahagian yang wajib disedekah kepada fakir miskin, hendaklah disedekahkan kepada mereka dalam keadaan mentah.[1] Adapun bagi daging aqiqah, sunat dimasak[2] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana daging korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[3]

2. Mengenai memberi daging korban kepada orang kafir, menurut Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Thur; ia adalah harus. Imam Malik pula memakruhkannya, malah memakruhkan memberi kulit binatang korban kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya. Adapun pandangan mazhab Syafi’ie, menurut Imam Nawawi; harus memberi makan kepada mereka jika korban itu adalah korban sunat, bukan korban wajib (yakni korban nazar)[4].

Wallahu a’lam.

Nota Kaki;

[1] Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Jika orang yang melakukan korban dan ahli keluarganya memakan kesemua daging korbannya (tanpa ada sedikitpun yang disedekahkan kepada fakir miskin), maka ia wajib menggantinya dengan nilai/harga paling minima yang memadai sebagai sedekah, kemudian hendaklah ia membeli dengan harga itu daging untuk disedekahkan sebagai ganti yang dimakannya. Disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya. (Lihat; Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 308-309 dan Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824).
[2] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[4] Rujuk; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 316.

Monday, September 14, 2009

Dalam menyambut kedatangan hari lebaran yang ditunggu-tunggu oleh para muslimin seluruh dunia setelah sebulan berperang melawan hawa nafsu dengan tibanya hari untuk bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat Allah yaitu hari raya Idul Fitri. Di sini dituliskan beberapa adab dan perkara yang disunatkan untuk kita lakukan pada hari raya ini.

1. Membersihkan diri sebelum keluar untuk solat hari raya

Antara lain dalilnya ialah sebagaimana berikut :

a. Adalah Ibnu Umar mandi pada hari raya sebelum dia keluar
(riwayat imam Malik dengan sanad yang sohih )
b. Telah sabit bahwa para sahabat bersugi dan memakai bauan pada hari raya.
c. Telah sabit juga bahwa Ibnu Umar mandi dan memakai bauan pada hari raya Eidil Fitri.
d. Sebahagian ulama’ menyatakan sunat mencukur bulu dibadan dan memotong kuku kerana ia adalah penyerpurna dalam berhias.

2. Memakai sebaik-baik pakaian

Adalah bagi Rasulullah S.A.W satu jubah yang dipakai pada kedua hari raya.

3. Makan tamar atau seumpamanya sebelum keluar untuk solat hari raya

a. Daripada Anas adalah Rasulullah S.A.W tidak bersarapan pada hari raya eidul fitri sehingga baginda makan tamar dan memakannya secara ganjil pada bilangan.
(riwayat imam Bukhari dan Ahmad)
b. Daripada baridah telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W tidak keluar pada hari raya eidil fitri sehingga baginda makan dan tidak makan pada hari raya korban sehingga menyembelih binatang korban. ( riwayat imam Ahmad dalam sohih Al-Jami’ )

4. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya

Ummu ‘Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim)

Setengan ulama’ mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.

5. Melaungkan takbir pada hari raya

Daripada Ibnu Umar berkata bahawa Nabi S.A.W bertakbir pada hari raya eidil fitri bermula ketika baginda keluar dari rumah sehinggalah sampai di temapt solat hari raya.
( Riwayat Baihaqi dan al-hakim dalam sohih al-Jami’ )

6. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya

Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami’ )

7.Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin

Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu.
( Al-Albani telah berkata telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih dalam Tamam al-Minnah )

Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya

VN:F [1.4.4_707]

Saturday, September 5, 2009

Diri pada tahap nafsu mardiyah diredai Allah

MINGGU lalu kita membincangkan mengenai nafsu ammarah, tangga paling rendah yang mengakibatkan diri selalu diselubungi keburukan dan maksiat.

Di tangga kedua ialah nafsu lawwamah, kemudian diikuti tahap lebih baik nafsu mulhimah, muthmainnah dan nafsu radiah serta mardiyah

  • Nafsu lawwamah - Nama ini diambil daripada al-Quran, sebagaimana pada ayat 2 dari surah al-Qiyamah, maksudnya: "Dan aku bersumpah dengan an-nafsul-lawwaamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)."

    Diri pada tahap ini meningkat sedikit, berbanding diri yang dikuasai nafsu ammarah.

    Jika pada tahap nafsu ammarah diri tidak terkilan dengan kesalahan dilakukan, bahkan megah dengan dosa, tetapi pada tahap ini diri kesal atas keterlanjuran dan kekurangannya menunaikan kewajipan.

    Di dalam diri terasa seperti ada sesuatu yang mencelanya. Tetapi dengan adanya suara celaan dari dalam diri itu menunjukkan ia masih hidup. Walaupun berpenyakit masih belum parah.

  • Nafsu mulhimah - Sesetengah ulama tidak memasukkan tahap ini dalam peringkat sifat yang dilalui diri manusia. Tetapi ramai juga dari kalangan ulama terutama ahli sufi yang memasukkan peringkat ini seperti diisyaratkan al-Quran, maksudnya: "Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan." (as-Syams:8)

    Nas terbabit pada amnya menjelaskan manusia boleh menerima suatu saranan di dalam dirinya sama ada berunsur kejahatan atau kebaikan. Ini juga menunjukkan diri seseorang sentiasa diilhamkan dua unsur; kejahatan dan kebaikan.

    Berdasarkan nas dan sejarah hidup manusia sepanjang zaman membuktikan di dalam diri manusia ada satu daripada dua unsur itu, seperti suatu alat yang dapat mengesan gelombang suara dari alam ghaib.

    Fenomena ini adalah realiti yang diakui tanpa diragui. Dalam bidang ilmu, fenomena ini dikaji ahli psikologi.

    Pelbagai pendapat dan istilah dikemukakan, namun semua kajian menyakini fenomena terbabit sekalipun berbeza dari segi penafsirannya.

  • Nafsu muthmainnah - Nafsu di tahap ini lebih sempurna, dari sudut usaha menyucikan (tazkiyah) dan melakukan jihad (mujahadah) terhadap nafsunya.

    Hasil dari jihad nafsu yang tabiatnya sentiasa bergelora dan membara tanpa ada batas kepuasan, berpandukan syariat Allah dan jauh daripada maksiat, zahir dan batin, menjadikan diri mencapai ketenangan.

    Peringkat ini tidak dapat dirasakan melainkan selepas diri merasakan damai terhadap hukum Allah dan manhajnya, ketentuan qada dan qadar (takdir), mengingati Allah dan khusyuk dalam ibadat.

    Malah, diri tenang menghayati konsep kehambaan diri kepada Allah, sentiasa kembali kepada Allah dan hatinya pula sejahtera daripada segala penyakit.

    Diri dalam peringkat ini akan mudah terasa dengan kesalahan dan dosa manakala ukuran dan timbangan terhadap sesuatu amal kebaikan semakin cermat.

    Kedamaiannya dinikmati oleh diri dan oleh orang sekelilingnya, bahkan kadangkala menjadi penaung kepada mereka yang diburu kerisauan dan keresahan hidup.

    Diri di peringkat inilah yang mendapat panggilan Ilahi sebagai hamba-Ku (ibadi) dan tentunya akan mendapat ganjaran syurga.

  • Nafsu radiyah - Diri di tahap ini dapat mendiamkan syaitan dari dalam dirinya. Allah menurunkan ketenangan ke dalam hatinya.

    Diri akan menghayati sifat reda dan menjadi maqamnya (tahap kedudukan), namun diri ini masih bimbang dan berasa belum diterima Allah.

  • Nafsu mardiyah - Diri di tahap ini diredai Allah. Diri yang mencapai peringkat ini akan dapat merasakan maqamnya (tahap kedudukan) diterima Allah.

    Tetapi rasaan ini bukanlah suatu yang dibuat-buat dan sekadar satu dakwaan sedangkan sebenarnya tidak ada pada batin dirinya.

    Rasaan itu adalah pemberian Allah sebagai 'busyra' (khabar gembira) dari Allah kepada hamba-Nya yang diredai ketika mereka masih lagi hidup di dunia.

    Istilah pada diri di tahap ini diilhamkan dari al-Quran. Tahap ini yang dihayati serta dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keazaman oleh tokoh kerohanian Islam seperti ahli sufi.

    Bagi kita yang bukan ahlinya dan tidak menempuhinya, selayaknya kita menerimanya selaras dengan anjuran al-Quran.

    "Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada ahlu'dz-dzikri jika kamu tidak mengetahui." (al-Anbiyaa':7)


  • Saturday, August 29, 2009

    SOLAT MUSAFIR KETIKA BALIK KAMPUNG

    Soalan; ustaz, saya ada 2 soalan:-
    1. Sekiranya saya balik ke kampung mentua (kampung suami) yang jaraknye melebihi 2 marhalah boleh atau tidak sy solat jamak dan qasar ketika berada di situ..dan berapa hr yang sy blh jamak? setahu sy ada 2 pendapat yang mengatakan boleh dan ada yang kata tidak boleh.....minta utz untuk kemukakan 2 pendapat ini dan yang manakah yang terbaik utk dilakukan.
    2. Adakah suami saya boleh jamak dan qasar ketika pulang ke kampungnya itu?
    Terima kasih

    Jawapan;

    Jika kita berasal di satu tempat, kemudian kita berpindah darinya dan tinggal/mustautin di tempat yang lain, merujuk kepada amalan Nabi s.a.w. harus kita melakukan solat musafir (yakni jamak dan qasar) tatkala kita bermusafir ke tempat asal kita jika jaraknya melebihi dua marhalah dari penempatan baru kita. Sedia dimaklumi bahawa Nabi s.a.w. berasal dari Mekah, kemudian berhijrah ke Madinah. Hadis-hadis Nabi s.a.w. menceritakan bahawa tatkala baginda bermusafir ke Mekah, baginda melakukan solat musafir ketika berada di Mekah - walaupun Mekah itu asalnya adalah tanah kelahirannya-. Seorang sahabat bernama ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Aku pernah berperang dengan Rasulullah s.a.w. dan bersama baginda ketika pembukaan kota Mekah. Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dengan tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (yakni melakukan solat qasar). (Selepas memberi salam), baginda berkata (kepada makmum di belakangnya dari kalangan penduduk Mekah); “Wahai penduduk Mekah, sempurnakan solat kamu kepada empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir”. (HR Abu Daud).

    Berdasarkan hadis ini, harus kita melakukan solat musafir apabila kita pulang ke kampung/penempatan kelahiran kita jika kita tidak lagi menetap di situ. Adapun tempoh keharusan melakukan solat musafir, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/tempoh-harus-solat-musafir.html).

    Mengenai pendapat ulamak, ada sebahagian ulamak berpendapat; tidak harus seseorang melakukan solat musafir jika ia singgah di suatu tempat yang ada di situ ahli keluarga dan hartanya. Ia hanya harus melakukan solat musafir ketika dalam perjalanan ke situ sahaja. Adapun apabila sampai, ia hendaklah melakukan solat penuh. Ini kerana dengan adanya keluarga dan hartanya di situ, maka tempat itu telah telah menyerupai negeri/kawasan penempatannya. Antara yang berpandangan sebegini ialah Imam Ahmad dan az-Zuhri. Berkata Imam az-Zuhri; sesiapa bermusafir dengan melalui ladang/kebun miliknya, tidak harus solat musafir di situ. Pandangan ini di ambil dari Ibnu ‘Abbas di mana menurut beliau; jika kamu tiba di satu kawasan/tempat yang ada ahli keluarga atau harta kamu, hendak lah kamu mengerjakan solat sebagaimana solat orang muqim (orang yang menetap), yakni; solat dengan sempurna, tanpa qasar.

    Namun jumhur ulamak (termasuk Imam Syaf’ie, Ibnu al-Munzir, Imam Malik dan sebagainya) berpendapat; harus ia solat musafir selama ia tidak berniat menetap (bermuqim) di situ. Jika ia berniat menetap (bermuqim) di situ, tamatlah keharusan solat musafirnya (yakni ia hanya harus mengerjakan solat musafir di perjalanan sahaja dan apabila sampai hendaklah ia melakukan solat sebagaimana biasa). Jadi menurut pandangan ini hukum bermusafir ke tempat yang ada ahli keluarga kita sama seperti bermusafir ke tempat lain, iaitu harus melakukan solat jamak dan qasar (jika mencukupi syarat-syarat dari segi jarak dan sebagainya) selama kita tidak berniat untuk menetap atau bermastautin di situ.

    Pandangan pertama berdalilkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan bahawa; Saidina ‘Usman apabila berada di Mekah, beliau tidak mengqasarkan solatnya akan tetapi melakukannya dengan sempurna. Lalu perbuatannya disanggah oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka ia menjawab; Aku telah berkeluarga di Mekah. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa berkeluarga di satu negeri, hendaklah ia mengerjakan solat sebagaimana orang muqim (yakni tidak boleh jamak dan qasar)” (Riwayat Imam Ahmad). Namun, para ulamak hadis telah sepakat mengatakan bahawa; hadis ini adalah dhaif (lemah), tidak harus dijadikan hujjah. (Lihat; Nailul-Autar; 3/221).

    Rujukan;

    1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/184.
    2. Nailul-Autar, Imam asy-Syaukani, 3/221.
    3. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 2/304.

    SOLAT MUSAFIR KETIKA BALIK KAMPUNG

    Soalan; ust. saya ada 1 soalan.1. saya kerja di K.L dan balik kg di kelantan. saya cuti beberapa hari dikelantan boleh tak saya jamak sembahyang.

    Jawapan;

    Jika saudara telah bermastautin (yakni tinggal menetap) di Kuala Lumpur, haruslah saudara melakukan solat musafir (jamak dan qasar) apabila saudara keluar bermusafir dari tempat tinggal saudara itu jika jaraknya melebihi jarak yang mengharuskan solat musafir iaitu dua marhalah (atau 85-90km) mengikut jumhur ulamak. Untuk keterangan lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/jarak-untuk-harus-solat-qasar-dan-jamak.html), (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/tempoh-harus-solat-musafir.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/10/solat-musafir-ketika-balik-kampung.html).

    Wallahu a'lam.

    Ramadhan: Separuh Masa Kedua Piala Taqwa

    “Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa”� [al-Baqarah 2: 183]

    Sahabat,

    Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

    Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?

    Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “˜rakan syaitan jin dan manusia”™ tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya”™, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya”™.

    Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.

    Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, hubaya hubaya… kamu di ambang kekalahan. Piala Taqwa itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.

    Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

    “Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin. ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

    Sahabat,

    Kita telah tahu formula (iman + puasa) = Taqwa. Kita juga telah tahu bahawa puasa ini istimewa kerana ia suatu amalan yang tersembunyi. Tidak seperti Solat yang kelihatan, Zakat yang ada catatan atau Haji yang ada pendaftaran, puasa ini begitu eksklusif antara kita dengan Allah. Kita tidak menelan air semasa mandi di bilik air, tidak melihat yang haram walaupun sendirian jauh dari pandangan manusia, semuanya kerana kita berpuasa atas dorongan iman kepada Allah.

    Dorongan ini kita ulang 30 kali dalam sebulan untuk menanam nilai tulus dan ikhlas dalam beramal kepada Allah. Atas maksud inilah, Allah memberikan ganjaran khusus lagi eksklusif kepada mereka yang berpuasa kerana ia adalah taabbud yang istimewa antara seorang hamba dengan Penciptanya.

    Inilah intisari ke arah melahirkan Taqwa… Dan Taqwa itu ertinya berhati-hati dengan hukum Tuhan, itu kata Ubay bin Kaab kepada Umar dalam dialog mereka tentang Taqwa.

    Sama ada Taqwa itu berjaya dicapai atau tidak boleh dilihat pada tatacara dan tingkah laku kita semasa meninggalkan Ramadhan serta di ambang menyambut Syawal. Jika puasa itu telah berkesan, tentunya semua kebaikan yang telah diulang 30 kali dalam sebulan, akan menjadi tabiat dan kebiasaan yang boleh kekal berpanjangan.

    Namun nilaikanlah erti Aidilfitri kepada kita. Adakah ia manifestasi kehambaan kita kepada Allah, atau hari rasmi melepaskan nafsu liar dari kandang latihan?

    Renungkan…

    Kita ini hambaNya. Kita dijadikan olehNya untuk hidup sebagai hambaNya. Hidup hamba adalah hidup perhambaan, ia adalah hidup beribadah. Seorang yang menginsafi dirinya sebagai hamba, akan menilai setiap perilakunya untuk dijadikan ibadah pengabdian diri kepada Allah. Kerjanya untuk Allah, belajarnya untuk Allah, sukanya untuk Allah, dukanya juga untuk Allah. Puasanya untuk Allah, dan semestinya raya juga untuk Allah. Raya itu adalah ibadah…

    Ya, bagi seorang hamba, raya itu adalah ibadah dan bukannya adat. Menukar ibadah kepada adat, adalah sifir songsang bagi kehidupan seorang hamba. Apa yang sepatutnya menjadi persembahan diri sebagai abdi kepada Tuhan, bertukar menjadi adat yang hanya berupa soal remeh temeh bagi “˜keperluan”™ hidup seorang hamba, yang tiada kena mengena dengan “˜tujuan”™ hidupnya. Tidak selayaknya untuk seorang yang telah menempuh bulan Ramadhan, hanya mampu menggambarkan Syawal menerusi jamuan makan, pesta budaya dan agenda bersuka-suka semata. Apakah yang demikian itu hasil ibadah kita? Apakah itu erti Taqwa bagi kita? Apakah layak untuk kita beraya tanpa Tuhan? Sedangkan kita hanya hamba yang menumpang kediaman…

    Kita adalah hamba… walaupun di pagi raya.

    Hamba selamanya…