
Wednesday, September 30, 2009
Tuesday, September 29, 2009
Labels: Ibadah
DAGING KORBAN DAN AQIQAH
Soalan; ustaz, soalan saya berkenaan Daging Aqiqah dan Daging Korban:-
1)Manakah lebih baik dan lebih afdhal samaada kita sedekahkan daging tersebut secara mentah-mentah atau kita masak terlebih dahulu dan beri makan kepada mereka yang berhak (buat kenduri)
2) Adakah boleh orang bukan islam makan Daging Aqiqah / Daging Korban ( mereka hadir dalam majlis kenduri dan makan makanan tersebut )
Terima Kasih Ustaz
Jawapan;
1. Bagi daging korban, sunat diagihkan dalam keadaan mentah. Jika hendak disedekahkan (atau dihadiahkan) setelah dimasak adalah harus. Cuma bahagian yang wajib disedekah kepada fakir miskin, hendaklah disedekahkan kepada mereka dalam keadaan mentah.[1] Adapun bagi daging aqiqah, sunat dimasak[2] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana daging korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[3]
2. Mengenai memberi daging korban kepada orang kafir, menurut Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Thur; ia adalah harus. Imam Malik pula memakruhkannya, malah memakruhkan memberi kulit binatang korban kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya. Adapun pandangan mazhab Syafi’ie, menurut Imam Nawawi; harus memberi makan kepada mereka jika korban itu adalah korban sunat, bukan korban wajib (yakni korban nazar)[4].
Wallahu a’lam.
Nota Kaki;
[1] Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Jika orang yang melakukan korban dan ahli keluarganya memakan kesemua daging korbannya (tanpa ada sedikitpun yang disedekahkan kepada fakir miskin), maka ia wajib menggantinya dengan nilai/harga paling minima yang memadai sebagai sedekah, kemudian hendaklah ia membeli dengan harga itu daging untuk disedekahkan sebagai ganti yang dimakannya. Disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya. (Lihat; Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 308-309 dan Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824).
[2] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[4] Rujuk; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 316.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 12:02 AM 0 comments
Labels: Ibadah
Monday, September 14, 2009
Dalam menyambut kedatangan hari lebaran yang ditunggu-tunggu oleh para muslimin seluruh dunia setelah sebulan berperang melawan hawa nafsu dengan tibanya hari untuk bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat Allah yaitu hari raya Idul Fitri. Di sini dituliskan beberapa adab dan perkara yang disunatkan untuk kita lakukan pada hari raya ini.
1. Membersihkan diri sebelum keluar untuk solat hari raya
Antara lain dalilnya ialah sebagaimana berikut :
a. Adalah Ibnu Umar mandi pada hari raya sebelum dia keluar
(riwayat imam Malik dengan sanad yang sohih )
b. Telah sabit bahwa para sahabat bersugi dan memakai bauan pada hari raya.
c. Telah sabit juga bahwa Ibnu Umar mandi dan memakai bauan pada hari raya Eidil Fitri.
d. Sebahagian ulama’ menyatakan sunat mencukur bulu dibadan dan memotong kuku kerana ia adalah penyerpurna dalam berhias.
2. Memakai sebaik-baik pakaian
Adalah bagi Rasulullah S.A.W satu jubah yang dipakai pada kedua hari raya.
3. Makan tamar atau seumpamanya sebelum keluar untuk solat hari raya
a. Daripada Anas adalah Rasulullah S.A.W tidak bersarapan pada hari raya eidul fitri sehingga baginda makan tamar dan memakannya secara ganjil pada bilangan.
(riwayat imam Bukhari dan Ahmad)
b. Daripada baridah telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W tidak keluar pada hari raya eidil fitri sehingga baginda makan dan tidak makan pada hari raya korban sehingga menyembelih binatang korban. ( riwayat imam Ahmad dalam sohih Al-Jami’ )
4. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya
Ummu ‘Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim)
Setengan ulama’ mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.
5. Melaungkan takbir pada hari raya
Daripada Ibnu Umar berkata bahawa Nabi S.A.W bertakbir pada hari raya eidil fitri bermula ketika baginda keluar dari rumah sehinggalah sampai di temapt solat hari raya.
( Riwayat Baihaqi dan al-hakim dalam sohih al-Jami’ )
6. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya
Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami’ )
7.Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin
Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu.
( Al-Albani telah berkata telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih dalam Tamam al-Minnah )
Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya
Saturday, September 5, 2009
|